Assalamu'alaikum w.b.t.
Dalam bab diatas ulama fuqahak berbeza pendapat mengenai hal demikian, ini kerana berdasarkan perbezaan kefahaman dan pentafsiran firmal ALLAH S.W.T. mafhum ayat :
"Lelaki yang berzina tidak berkahwin melainkan yang berzina atau perempuan musyrik dan perempuan yang berzina itu pula tidak berkahwin dengannya melaikkan oleh lelaki yang berzina atau lelaki musyrik dan perkahwinan yang demikian itu terlarang kepada orang-orang yang beriman" - Surah An-Nur ayat 3
Menurut Ibnu Abbas r.a. sebagaimana diriwayatkan oleh Ibnu Kathir bahawa berkahwin atau bernikah yang dimaksudkan didalam ayat tersebut ialah bersetubuh. Ertinya seorang lelaki tidak melakukan persetubuhan diluar nikah atau berzina kecuali dengan wanita yang rela melakukannya. Jadi kedua-duanya berzina, atau dengan perempuan musyrik yang memang tidak menganggap zina itu HARAM!. - Mukhtasor Tafsir Ibnu Kathir jilid 2, M/Surat 582
Pandangan-pandangan menurut fuqahak menurut 4 mazhab mengenai hukum berkahwin dengan perempuan hamil hasil zina :
Mazhab
Hanafi:
Imamnya Abu Hanifah dan muridnya Muhammad berkata wanita hamil hasil zina harus
dinikahi kerana kandungan itu tidak sabit nasab kepada sesiapa. Tetapi tidak
boleh disetubuhi sehinggalah dia melahirkan kandungannya berdasarkan sabda Nabi
s.a.w. mafhum hadis: “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan Hari Akhirat,
janganlah dia menyiram airnya ke atas tanaman orang lain!”
Selain itu, haram bersetubuh adalah kerana sebab mendatang seperti haram
bersetubuh masa haid dan nifas. Maka ia tidak menghalang sahnya aqad.
Menurut Abu Yusuf, seorang murid Imam Abu Hanifah juga, mengahwini wanita yang
hamil hasil zina tidak sah kerana satu daripada tujuan perkahwinan ialah jimak.
Jika jimak tidak harus, maka tiada guna pernikahan.
Walaubagaimanapun, tiada perselisihan di kalangan ulamak Mazhab Hanafi tentang
keharusan wanita hamil dikahwini oleh lelaki yang berzina dengannya, yang
menyebabkan kehamilan itu dan harus baginya melakukan jimak sebelum bersalin
dan dia (perempuan itu) berhak mendapat nafkah. (Al-Fatawa al-Hindiyyah, jld 1,
m.s.280)
Mazhab Maliki
Bila seorang wanita berzina, tidak halal bagi orang yang mengetahui menikahinya
kecuali setelah tamat idahnya; iaitu jika dia hamil, idahnya ialah melahirkan
kandungannya. Jika tidak hamil, idahnya adalah tiga kali suci. (Al-Mughni, jil
6, m.s.601 dan al-Muhalla jil 10, m.s.28)
Mazhab Syafi'ei
Apabila seorang wanita berzina, tidak wajib ke atasnya beridah sama ada ia
hamil atau tidak. Sekiranya dia tidak hamil, harus bagi lelaki yang berzina
dengannya atau lelaki lain bernikah dengannya. Sekiranya dia hamil, maka makruh
menikahinya sebelum dia bersalin. (Al-Majmuk, jil 15, m.s.398)
Mazhab Hanbali
Menurut fuqahak Mazhab Hanbali, tidak harus menikahi wanita yang telah berzina
kecuali dengan dua syarat, iaitu dia telah bertaubat dan telah habis idahnya.
Jika mengandung. Maka idahnya ialah bersalin. Jika tidak mengandung, maka
idahnya tiga kali suci sama ada orang yang ingin menikahinya itu lelaki yang
telah berzina dengannya atau lelaki lain.
Antara dalil yang menjadi sandaran pendapat mereka ialah:
1. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang beriman dengan Allah dan
Hari Akhirat, jangan dia menyiram airnya ke atas tanaman orang lain!”. Maksud
Hadis ini menyetubuhi wanita yang sedang hamil.
2. Diriwayatkan daripada Sa’eid bin al-Musayyab, seorang lelaki telah menikahi
seorang perempuan. Apabila dia menyetubuhinya didapati perempuan itu sedang
hamil. Dia mengadu kepada Nabi s.a.w. Maka baginda memisahkan mereka berdua.
Perempuan itu diberikan maskahwinnya dan dikenakan hukuman sebata 100 kali.
((Al-Mughni, jil 6, m.s.601)
Mengenai syarat taubat, ia merupakan pandangan Mazhab Hanbali sahaja.
Mazhab-mazhab lain tidak mensyaratkan taubat.
Fuqahak yang tidak mensyaratkan taubat berpegang kepada apa yang berlaku pada
zaman pemerintahan Umar bin al-Khattab di mana seorang lelaki dan seorang
perempuan sama-sama dikenakan hukuman hudud, 100 kali sebatan. Umar berusaha
untuk menyatukan keduanya tetapi lelaki itu enggan. Dan diriwayatkan juga
bahawa seorang lelaki bertanya Ibn Abbas r.a. tentang hukum menikahi perempuan
yang berzina. Beliau menjawab: “Harus. Bandingkan sekiranya dia mencuri buah
kurma, kemudian dia membelinya. Tidakkah itu harus?”
Antara dalil Mazhab Hanbali ialah:
1. Firman Allah di dalam ayat 3 surah an-Nur yang telah disebut di atas. Dengan
jelas dinyatakan bahawa pernikahan itu dilarang ke atas orang yang beriman.
Jadi sebelum bertaubat, dia adalah seorang pezina. Tetapi jika telah bertaubat,
hilanglah sifat itu sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Orang yang
bertaubat dari dosa seperti orang yang tiada dosa”.
2. Abu Daud meriwayatkan bahawa Mirthad bin Abi Mirthad al-Ghanawi meminta izin
dengan Nabi s.a.w. untuk menikahi seorang pelacur di Mekah bernama ‘Unaq. Nabi
s.a.w. membacakan kepada Mirthad ayat ini (An-Nur:3) kemudian bersabda: “Jangan
nikahinya!”
Saya secara peribadi cenderung kepada pendapat Mazhab Hanbali. Namun pihak yang
lebih berkuasa seperti para mufti dan qadhi perlu berbincang dengan serius dan
mengeluarkan fatwa yang benar-benar mantap bagi menangani gejala zina yang amat
parah sekarang ini!
- Blogger Comment
- Facebook Comment
Subscribe to:
Post Comments
(
Atom
)
0 comments:
Post a Comment