PEMAIN perseorangan badminton lelaki negara, Liew Darren tidak menganggap mengambil alih tugas sebagai pemain perseorangan utama pada temasya Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland bermula 23 Julai ini sebagai satu bebanan untuk dirinya.
  
Beliau menggantikan pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei yang tidak menyertai kontinjen negara ke Glasgow selepas mengalami kecederaan pangkal paha dan dinasihatkan oleh Institut Sukan Negara (ISN) dan doktor untuk menarik diri daripada temasya tersebut.
  
"Saya tidak anggap ianya sebagai tekanan namun akan berusaha dengan  bersungguh-sungguh untuk mara sekurang-kurangnya ke final," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahanan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke Sukan Komanwel di Dewan Komanwel, Majlis Sukan Negara di sini, hari ini.
  
Darren berkata bukan satu masalah atau satu tekanan bagi beliau sekiranya ditakdirkan bertemu rakan sepasukan Chong Wei Feng pada aksi final kerana pada ketika itu pingat emas dan perak sudah menjadi milik Malaysia.
  
"Kalau saya dapat nombor dua atau nombor tiga sudah dikira cukup baik kerana tahap cabaran di Sukan Komanwel amat besar berbanding dengan kejohanan lain namun saya akan cuba lakukan yang terbaik," katanya.
  
Pemilihan Darren sebagai penganti Chong Wei mendapat reaksi berbeza daripada pelbagai pihak apabila beliau sebelum ini dikritik hebat susulan kegagalannya menghadiahkan mata kemenangan kepada skuad negara yang tewas 2-3 kepada Jepun dalam aksi final Piala Thomas di New Delhi, India, Mei lepas. - Bernama