KUALA LUMPUR: Bagi menampung kehidupan
harian berikutan kenaikan kos sara hidup kini, pelajar-pelajar institusi
pengajian tinggi (IPT) mengambil pelbagai langkah untuk mengatasi
masalah itu.
Menyedari tidak boleh hanya bergantung dengan wang pinjaman pendidikan,
Ag Mohd Nasharudin Awang Nayan, 20, memilih bekerja sambilan di kedai
makan berhampiran kediamannya bagi menampung perbelanjaan sehariannya.
Katanya, walaupun mendapat pinjaman pendidikan, wang itu tidak mencukupi
kerana baki yang tinggal setelah ditolak yuran pengajian dan penginapan
adalah terlalu sedikit sedangkan dirinya memerlukan antara RM300 hingga
RM400 sebulan bagi menampung perbelanjaan.
“Selepas ditolak yuran dan sewa penginapan baki pinjaman saya hanya
tinggal dalam kira-kira RM200 (sebulan) sahaja, dan jumlah itu tidak
cukup, jadi saya memilih untuk mencari kerja sambilan untuk mencari duit
belanja, walaupun dibayar kira-kira RM45 sehari, bagi saya ia
mencukupi” kata pelajar tahun dua Diploma Jurusan Reka Bentuk Multimedia
di sebuah kolej swasta di ibu kota.
Tambah beliau lagi walaupun penat dengan kuliah dan tugasan, baginya
bekerja secara sambilan ini mengajar dirinya berdikari dan sebagai
persediaan untuknya menghadapi dunia pekerjaan yang sebenar.
Mohd Faeis Mohd Niza, 22, pula memilih untuk berjimat cermat dalam
perbelanjaan seharian bagi menghadapi kenaikan kos sara hidup.
“Saya memilih untuk masak makanan sendiri berbanding makan di luar,
kecuali jika keadaan terlalu sibuk dengan tugasan baru lah saya ke kedai
makan,” katanya.
Bekerja sambilan di restoran makanan segera adalah salah satu inisiatif pelajar IPTA demi menampung perbelanjaan harian
Beliau yang sedang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam Jurusan
Seni Lukis dan Seni Reka di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah
Alam juga menyenaraikan barangan yang hendak dibeli bagi mengelakkan
pembaziran akibat membeli barangan yang tidak perlu.
Berkongsi kereta dan menaiki pengangkutan awam merupakan cara Hamiza
Hamidon, 25, pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Tekstil UiTM Shah
Alam untuk meminimumkan kesan kenaikan harga petrol dalam perbelanjaan
sehariannya.
“Sebelum ini saya selesa menggunakan kereta sendiri, sekarang saya
menggunakan pengangkutan awam atau berkongsi kereta jika ke kelas atau
melakukan aktiviti diluar, dengan cara ini kos petrol dan tol dapat
dikurangkan,” katanya.
Beliau juga memilih untuk membuat salinan daripada buku-buku yang
dipinjam daripada perpustakaan universiti bagi menjimatkan kos.
Tambah beliau, kebanyakan buku yang digunakan dalam jurusannya boleh didapati di perpustakaan.
Beliau juga berharap bilangan kedai yang disenaraikan dalam Kad Diskaun
Siswa 1Malaysia yang diperkenalkan pada 2012 supaya diperluaskan.
Menurutnya walaupun pengguna kad berkenaan ditawarkan diskaun antara 5
hingga 60 peratus, kedai yang terbabit masih lagi sedikit dan tidak
dapat memberi impak yang berkesan di dalam membantu mengurangkan beban
siswa dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup. -Bernama
0 comments:
Post a Comment