KUANTAN – Tindakan tidak bertanggungjawab
pihak yang meletakkan tiga kamera tersembunyi berbentuk penyangkut baju
dan kotak hitam berukuran kira-kira 10 sentimeter di tandas kakitangan
wanita Hospital Bentong, baru-baru ini, berkemungkinan didalangi orang
dalam.
Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr
Norhizan Ismail berkata, tandas berkenaan yang berada di bahagian unit
rawatan kecemasan hanya boleh digunakan oleh kakitangan hospital saja
malah orang awam tidak dibenarkan sama sekali memasukinya bagi mengelak
kesesakan atau mengganggu privasi doktor atau jururawat yang bertugas.
“Kita tidak menolak ada pembabitan daripada orang dalam berikutan tandas
itu hanya boleh digunakan oleh kakitangan wanita saja manakala orang
awam tidak dibenarkan.
Perbuatan meletakkan kamera di bawah sinki dan berbentuk penyangkut baju
disedari apabila seorang kakitangan wanita hospital ternampak cahaya
merah seolah-olah sedang merakam gambar.
Antara pihak yang menyebarkan perkara itu adalah badan pemantau jenayah,
MyWatch, menerusi twitternya turut berkongsi gambar yang dimuat naik
seorang individu dipercayai kakitangan hospital itu menerusi akaun
Facebooknya.
“Kami menyerahkan kepada polis untuk melakukan siasatan terperinci dan
sekiranya didapati ada kakitangan hospital berkenaan terbabit, pihak
kami akan mengambil tindakan tegas,” katanya, ketika dihubungi di sini,
semalam.
Sebelum ini, seorang kakitangan hospital berkenaan menjumpai tiga kamera
tersembunyi berbentuk penyangkut baju dan kotak hitam berukuran
kira-kira 10 Sentimeter di tandas kakitangan wanita sekali gus
mengundang pelbagai persoalan masyarakat seterusnya menjadi perbualan
hangat di laman sosial. -HarianMetro
0 comments:
Post a Comment