KENAIKAN KOS: Ini Nasihat Dr. Mahathir
Kepada Kerajaan| Putrajaya boleh meningkatkan pendapatan melalui
pengurangan kos dan bukan melalui kenaikan harga barang keperluan, kata
Tun Dr Mahathir Mohamad.
Mantan perdana menteri itu berkata meskipun kerajaan memerlukan dana
lebih besar setiap tahun bagi menanggung perbelanjaan yang semakin
meningkat, kerajaan boleh menggunakan konsep ‘cost down’ untuk
mengurangkan pembaziran.
“Kita faham kerajaan memerlukan lebih wang tetapi itu tidak bermakna peningkatan seperti yang diumumkan.
“Adalah lebih baik mengurangkan kos, mengekalkan atau mengurangkan
harga. Perkara sama boleh dilakukan kerajaan,” katanya dalam tulisan di
blog Che Det hari ini.
Menurut Dr Mahathir, banyak dapat dijimatkan jika kerajaan serius
bertindak berikutan Laporan Ketua Audit Negara mengenai ketirisan
kerajaan.
“Kerajaan biasanya melakukan pembaziran kerana tidak memikirkan pulangan
dalam apa juga bentuk perbelanjaan. Jika kerajaan berhasrat
mengurangkan kos urus tadbir, mereka boleh melakukannya,” tulis beliau.
Dr Mahathir berkata Putrajaya boleh melakukan penjimatan sebanyak 50% jika lampu jalan digantikan dengan mentol LED.
“Penjimatan kepada bekalan elektrik dapat disalurkan kepada pengurangan
subsidi bahan bakar bagi menjana tenaga namun ini tidak dilakukan
kerajaan,” katanya.
Beliau berkata meskipun rakyat memahami cukai lebih tinggi diperlukan
bagi menanggung kos pembangunan tetapi peningkatan kos sara hidup harus
selari dengan jumlah pendapatan.
“Pembayar cukai tidak mampu menanggung kenaikan cukai mendadak,” katanya.
Dr Mahathir turut menyarankan kesan kenaikan cukai perlu dikaji terlebih dahulu.
“Mesti diingat adalah kenaikan cukai meningkatkan kos sara hidup, kos
menjalankan perniagaan, mengurangkan keuntungan serta pengurangan cukai
korporat kerajaan,” katanya.
Mantan Perdana Menteri itu turut menyelar kerajaan kerana meningkatkan
tarif elektrik pada kadar 15% yang disifatkannya satu lonjakan besar
kepada pengguna elektrik domestik selain memberi kesan kepada kos
pengeluaran industri.
Katanya, kenaikan tarif elektrik itu sewajarnya dinaikkan secara
berperingkat bagi mengelakkan industri yang telah memeterai perjanjian
pengeluaran menanggung kerugian besar.
“Kenaikan tarif elektrik pada kadar 15% adalah satu perubahan besar.
Kerugian pemain industri akibat kenaikan tarif elektrik itu akan
menyebabkan mereka membayar cukai korporat yang lebih rendah akibat
tidak mendapat keuntungan besar.
“Kenaikan tarif boleh dilakukan secara berperingkat seperti 6% setahun
untuk tempoh tiga tahun atau lebih lama. Jika formula itu digunakan,
peningkatan sebenarnya boleh meningkat kepada 18% berbanding 15% yang
diperkenalkan kerajaan sekarang,” katanya.
Dr Mahathir berkata melalui kaedah itu, kerajaan boleh menikmati kadar
kenaikan lebih dari 15% tanpa menanggung apa-apa kerugian sebaliknya
melengahkan kadar kenaikan tersebut.
Beliau tidak menafikan kerajaan memerlukan wang bagi mentadbir negara
tetapi perlu memikirkan kos rakyat dan perniagaan sebelum memperkenalkan
cukai baru.
“Ia tidak terlalu memberi kesan kepada kerajaan sebaliknya memberi
faedah besar kepada rakyat. Malah hal itu akan dikenang dalam pilihan
raya umum akan datang.
“Baru-baru ini, Presiden Perancis Francois Hollande meningkatkan cukai
kepada 50% tetapi ramai yang meninggalkan Perancis bagi membangunkan
perniagaan di negara lain,” katanya.
Awal bulan ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata semakan
semula tarif elektrik mengambil kira kepentingan rakyat dengan
memastikan kebanyakan rakyat tidak terjejas.
Beliau berkata kenaikan itu tidak akan menjejaskan kira-kira 71%
daripada pengguna domestik di seluruh negara dengan tidak sampai 30%
pengguna yang terlibat dengan kenaikan adalah pengguna industri dan
komersial.
0 comments:
Post a Comment